Pertimbang insentif cukai bagi amalan tenaga hijau – Aktivis – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

Pertimbang insentif cukai bagi amalan tenaga hijau – Aktivis

pertimbang-insentif-cukai-bagi-amalan-tenaga-hijau-aktivis

https://www.malaysiakini.com/news/458283

Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberikan insentif cukai kepada semua rakyat, industri dan perniagaan yang menyokong amalan penggunaan tenaga mampan, kata aktivis sosial Ang Lai Soon.

Beliau berkata penggunaan bahan bakar fosil dan arang batu perlu digantikan secara beransur-ansur dengan tenaga mampan termasuk tenaga boleh diperbaharui seperti elektrik-hidro, tenaga suria dan tenaga pasang surut.

Beliau berkata inisiatif ini berguna untuk negara tropika seperti Malaysia yang mana matahari bersinar setiap hari, terdapat sungai yang besar dan air terjun selain angin bertiup hampir sepanjang masa.

“Justeru, kita patut berfikir dengan serius untuk memasang panel suria di rumah, bangunan dan kilang kita, kerajaan memasang turbin angin dan turbin di sungai termasuk menggunakan tenaga pasang surut di kawasan pesisiran pantai, “ kata beliau dalam satu amanat Tahun Baru, menerusi satu kenyataan malam tadi.

Ang juga mencadangkan insentif itu perlu merangkumi pelepasan cukai jualan untuk kesemua kenderaan elektrik dan hibrid serta duti import untuk yang dibawa masuk dari luar negara.

“Pengangkutan awam, bas dan lori akan menjadi mesra alam dengan insentif cukai. Ini adalah contoh bagaimana menyediakan persekitaran yang diperlukan untuk mewujudkan suatu tranformasi yang mampan,” katanya.

Ang yang juga Presiden Sarawak Chesire Home, sebuah rumah kebajikan yang dibuka sejak 1969 menggesa kerajaan untuk melabur bagi pengajaran pertolongan cemas, resusitasi kardiopulmonari (CPR) di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Beliau berkata menurut bancian di mana-mana, serangan jantung adalah salah satu pembunuh teratas di dalam negara membangun dan negara maju serta banyak kejadian yang mana tiada individu berhampiran mangsa serangan jantung mampu melakukan CPR, yang merupakan satu-satunya kaedah pertolongan cemas yang diketahui dapat membantu mangsa hari ini.

“Tidak semua orang tahu CPR melainkan mereka terlatih dalam pertolongan cemas, jururawat, doktor atau seseorang dalam jurusan perubatan atau dilatih hanya dengan CPR,” katanya sambil melahirkan keyakinan kerajaan akan menyokong saranannya supaya lebih banyak nyawa yang berharga dapat diselamatkan.

Beliau juga menyatakan harapannya bahawa Malaysia hari ini dapat mengikuti sikap dan set minda orang rantau Scandinavia yang mana negara-negara mereka dianggap sebagai negara-negara contoh dan terbaik untuk menjadi tempat tinggal.