Tenaga solar ubah kehidupan Penan di Long Liwok – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

Tenaga solar ubah kehidupan Penan di Long Liwok

tenaga-solar-ubah-kehidupan-penan-di-long-liwok

https://www.utusanborneo.com.my/2018/12/25/tenaga-solar-ubah-kehidupan-penan-di-long-liwok

PENDUDUK Penan di Long Liwok yang terletak di tengah-tengah hutan dikelilingi bukit-bukau tidak pernah terfikir untuk memiliki kuasa elektrik 24 jam sehari.

Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira enam jam melalui jalan balak menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Miri. Tempoh perjalanan melalui lereng curam pada ketinggian 1,500 kaki dari aras laut bertambah panjang dan sukar sekiranya musim hujan.

Rumah panjang 34 pintu yang mempunyai 130 penduduk ini adalah antara kampung terawal di kawasan Telang Usan yang menerima bekalan elektrik tenaga solar melalui Skim Elektrik Luar Bandar Luar Negeri Sarawak atau SARES.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, ketika ini, Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengambil alternatif sendiri untuk membangunkan tenaga elektrik bagi kegunaan penduduk yang tinggal di pedalaman melalui SARES.

Katanya, permukaan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, penempatan yang berselerak khususnya kawasan Telang Usan dan ketiadaan akses jalan raya yang baik menyukarkan penyambungan grid kuasa utama ke kawasan perkampungan di situ.

BANYAK FAEDAH: Projek SARES di Long Liwok memberi manfaat besar kepada penduduk Penan di Long Liwok.

“Penggunaan tenaga solar di kawasan pedalaman seperti Long Liwok adalah alternatif yang lebih murah, bersih selain tahap ketersediaan yang tinggi.

“Ini memandangkan penyambungan kepada grid kuasa utama akan mengambil masa dan tidak praktikal digunakan di penempatan yang mempunyai jumlah penduduk yang tidak ramai dan berselerak,” kata Dennis kepada Utusan Borneo semasa lawatan ke Long Liwok, Baram baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 38 daripada 44 kampung seluruh Telang Usan sudah mempunyai bekalan elektrik.

Daripada jumlah itu, 26 kampung menggunakan tenaga solar manakala selebihnya menggunakan solar hibrid, mini hidro, janakuasa petrol dan masih dalam proses menentukan punca tenaga yang sesuai.

Dennis menambah, projek pemasangan panel tenaga solar di Long Liwok menelan kos RM2 juta dan diserahkan kepada penduduk kampung pada Oktober tahun lepas.

MANFAAT: SARES memberi manfaat kepada anak-anak Penan untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam dengan adanya bekalan tenaga solar menerangi kegelapan.

Beliau menambah, SARES merupakan langkah sementara menyediakan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar di Baram sehingga penyelesaian kekal seperti sambungan grid dapat dilaksanakan nanti.

Katanya, walapun SARES hanya satu penyelesaian sementara, namun usaha ini menunjukkan betapa kerajaan komited dalam memastikan setiap isi rumah mempunyai bekalan elektrik.

Dennis menambah, kerajaan sudah merancang untuk menyambung bekalan elektrik menggunakan grid di kawasan pedalaman Baram namun ia dianggarkan mengambil masa lebih 10 tahun.

Buat masa ini terdapat empat cara membekalkan elektrik ke kawasan pedalaman Telang Usan iaitu menggunakan tenaga solar, solar hibrid, jana kuasa dan mikro hidro.

“Jika kita mengambil kira cara yang paling cepat membawa bekalan elektrik ke kawasan pedalaman seperti Long Liwok, tenaga solar merupakan kaedah yang paling berkesan.

“Berbanding mikro hidro, walaupun kuasa tenaga tiada had namun pembinaan mengambil masa yang lama dan menelan kos yang tinggi,” kata Dennis.

Beliau menambah, kerajaan menyasarkan semua kampung di Telang Usan akan diterangi cahaya 100 peratus pada tahun 2021 menggunakan tenaga solar.

Ujarnya, pada awal pelaksanaan SARES, ramai penduduk kampung berasa was-was dengan keupayaan teknologi tenaga solar.

“Mereka bimbang kuasa solar tidak mencukupi. Hari ini maklum balas yang saya terima mereka berpuas hati. Saya gembira kerana usaha kerajaan negeri melaksanakan SARES kini mendapat sokongan penuh daripada penduduk kampung,” kata Dennis.

Ketua kaum Long Liwok, Pasang Wan, 54, ketika ditemui berkata, sebelum pelaksanaan SARES, penduduk kampung bergantung sepenuhnya dengan lampu minyak tanah dan jana kuasa petrol.

“Namun tidak semua keluarga di sini mempunyai jana kuasa petrol malah ada yang tidak mampu membeli mentol lampu.

“Kami membelanjakan kira-kira RM500 sebulan untuk membeli minyak diesel. Kos ini amat mahal memandangkan penduduk di sini tidak mempunyai pendapatan tetap, sebaliknya bergantung dengan jualan hasil buruan, tanaman dan kraft tangan,” kata Pasang.

Tambahnya, rata-rata penduduk di situ memperolehi pendapatan antara RM400 hingga RM1,000 sebulan namun ia tidak menentu.

Mereka membeli minyak diesel di dua tempat iaitu di Long Bedian dan Long Lama.

GEMBIRA: Dennis menekan suis lampu yang memperolehi bekalan tenaga solar sambil disambut tepukan daripada penduduk kampung Long Liwok, salah sebuah penempatan Penan di pedalaman Baram.

Melalui teknologi solar di bawah SARES, mereka tidak perlu mengeluarkan duit untuk membeli diesel.

Pasang berkata, wang tersebut boleh digunakan untuk membeli keperluan harian seperti makanan selain membeli kelengkapan persekolahan anak-anak.

Beliau berkata, sebelum mempunyai tenaga elektrik mereka terpaksa menghabiskan makanan seperti ikan dan daging hasil buruan.

“Ada peti sejuk pun tidak guna kalau tiada elektrik. Melalui SARES, kami tidak perlu menghabiskan makanan kerana ia dapat disimpan di dalam peti ais,” kata Pasang.

Satu lagi manfaat penting tenaga solar ialah keupayaannya mewujudkan peluang ekonomi yang baharu kepada penduduk Penan di Long Liwok khususnya dalam kalangan wanita.

Pembuat kraf tangan rotan Suling Wan, 59, berkata, dengan adanya bekalan elektrik pada waktu malam mereka dapat membuat lebih banyak kraf tangan seperti tikar dan beg rotan.

Beliau berkata, sebelum ini setiap beg rotan mengambil masa selama tiga hari untuk siap berbanding kini hanya sehari untuk siap.

“Kraf tangan kami seperti bakul, beg dan tikar rotan mendapat sambutan dan mempunyai pasaran yang baik. Saya dapat menambah jumlah produk kraf tangan rotan untuk memenuhi permintaan.

“Setiap bulan saya dapat membuat kira-kira 20 buah beg rotan iaitu peningkatan sekali ganda berbanding sebelum ini,” katanya sambil menambah produk kraf beliau dipasarkan di E-Mart di Miri.

Suling berkata, setiap beg rotan itu dijual antara RM30 hingga RM60 bergantung pada saiz dan corak.

Bagi seorang ibu, Rosalind Pasang, 39, tenaga solar memudahkan anak-anak penduduk kampung melakukan kerja-kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran.

Rosalind yang mempunyai seorang anak berusia 11 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bedian berkata, beliau gembira kerana generasi baharu di kampung itu tidak perlu menggunakan lampu pelita atau lilin untuk mengulang kaji pelajaran.

“Tenaga solar ini memberi impak besar dengan memberi galakan kepada anak-anak kami untuk belajar. Dengan adanya kemudahan elektrik, saya yakin kampung Long Liwok dapat melahirkan pelajar Penan yang berjaya dalam pelajaran,” katanya.