Projek solar hibrid, mikro hidro bekal elektrik di Kampung Walou – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

Projek solar hibrid, mikro hidro bekal elektrik di Kampung Walou

projek-solar-hibrid-mikro-hidro-bekal-elektrik-di-kampung-walou

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/07/584814/projek-solar-hibrid-mikro-hidro-bekal-elektrik-di-kampung-walou

RANAU: Kira-kira 150 penduduk Kampung Walou, di sini, mendapat bekalan elektrik menerusi projek sistem solar hibrid, mikro hidro yang dibangunkan Ranhill Powertron Sdn Bhd (RanhillPower) di kampung berkenaan.

Projek yang dilancarkan semalam dibina sejak tahun lalu dan siap sepenuhnya pada April lalu dengan keupayaan untuk membekalkan 10 kilowatt (kW) tenaga elektrik bagi kegunaan harian penduduk.

Ketua Pegawai Eksekutif RanhillPower, Dr Zahrul Faizi Hussien, berkata projek itu dibiayai menerusi dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berjumlah RM350,000.

“RanhillPower juga bekerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), TONIBUNG bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai dan berpotensi bagi tujuan pembangunan projek pembekalan tenaga elektrik melalui sistem terbabit,” katanya.

Projek bekalan elektrik itu dirasmikan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin dan Ahli Dewan Negara, Senator Adrian Lasimbang.

Zahrul berkata usaha pihaknya itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai 20 peratus penggunaan tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2025.

“Selain tanggungjawab sosial dalam membangunkan infrastruktur pembekalan tenaga elektrik kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman, RanhillPower turut berperanan dalam usaha membangunkan tenaga hijau dan boleh diperbaharui di Malaysia.

“Projek dan usaha seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang di kawasan lain yang memerlukan di sekitar Sabah,” katanya.