Tenaga suria atasi isu bekalan elektrik Pakistan – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

Tenaga suria atasi isu bekalan elektrik Pakistan

https://www.bharian.com.my/node/67420

KARACHI: Selepas bertahun mengalami gangguan bekalan elektrik, Pakistan kini beralih kepada tenaga suria dan angin sebagai sumber alternatif bagi menampung sekurang-kurangnya 10 peratus bekalan tenaga untuk tempoh lima tahun.

Sanaullah Kazi yang mengendalikan sekolah di bandar ini, sudah melabur AS$35,000 (RM132,000) bagi memasang 26 kilowatt sistem tenaga suria untuk sekolah baharunya seluas 232 meter persegi yang terletak di timur laut bandar raya ini.

Sebelum ini, syarikat bekalan kuasa bandar ini, K Electric memberitahu Kazi, dia perlu membayar AS$24,000 (RM90,000) jika mahu menyambung bekalan elektrik ke sekolahnya.

Begitupun, Kazi tahu dia masih perlu membeli dan memasang penjana kuasanya sendiri ketika bekalan terganggu.

“Justeru saya membuat keputusan untuk menggunakan tenaga suria,” katanya.

Penjimatan yang diperoleh daripada tenaga suria mampu menampung pelaburan dalam tempoh empat tahun dan menikmati bekalan kuasa percuma selama beberapa tahun selepas itu.

Syarikat yang menjual sistem suria itu memberi jaminan alat berkenaan dapat berfungsi untuk tempoh sekurang-kurangnya 15 tahun.

Masalah sistem bekalan tenaga menjadi antara isu utama membabitkan orang awam di Pakistan. Gangguan bekalan akan menjadi lebih teruk ketika musim panas apabila permintaan untuk elektrik meningkat.

Antara April dan Julai, bandar besar di negara itu dengan 190 juta penduduk, kerap terputus bekalan elektrik selama 10 hingga 12 jam sehari.

Di bandar ini saja, lebih 1,200 orang dilaporkan maut akibat gelombang panas baru-baru ini dengan suhu mencecah 45 darjah Celsius.

Ketika ini, sektor kerajaan, perniagaan dan pemilik rumah sama ada kecil atau besar, beralih kepada tenaga diperbaharui bagi menyinari hidup mereka.

Pengarah Eksekutif Kanan syarikat perunding kejuruteraan Osmani & Co, Naseem A Khan berkata ini saja cara terbaik dan selamat mengekang krisis tenaga.

Awal Mei lalu, Perdana Menteri, Nawaz Sharif merasmikan stesen tenaga suria pertama negara itu yang terletak di Bhawalpur, Punjab.

Fasa pertama ‘Quaid-e-Azam Solar Park’ boleh menghasilkan 100 megawatt tenaga elektrik. Juga pada penghujung bulan lalu, International Finance Corp (IFC), cabang Bank Dunia melancarkan program bagi mempromosikan lampu suria mampu milik di Pakistan.

IFC menganggarkan isi rumah di Pakistan membelanjakan kira-kira AS$2.2 bilion (RM8.2 bilion) setahun untuk lampu minyak tanah, lampu caj semula dan cara lain ‘menerangi’ rumah mereka ketika gangguan kuasa.

Sementara itu, beratus-ratus saluran telaga yang menggunakan pam suria sudah dipasang di seluruh kawasan luar bandar di Pakistan.

Syarikat swasta dan multinasional menyokong pemasangan itu sebagai sebahagian tanggungjawab sosial mereka.

Sebagai contoh, Fauji Fertilizer, pengeluar baja kimia terbesar di negara itu, memasang saluran telaga tenaga suria dan lampu LED di sekolah awam dan hospital di perkampungan Punjab di Sanjarpur.

Pakistan masih mengalami kekurangan tenaga sebanyak 25 peratus daripada yang diperlukan, oleh kerana ia menjana 17,000 megawatt dan purata permintaan adalah 23,000 megawatt.

Kira-kira 36 peratus tenaga negara datangnya daripada minyak, 29 peratus masing-masing daripada gas dan kuasa hidroelektrik sementara lima peratus nuklear. – AFP