UKM bangunkan sistem pengering mesra alam untuk produk pertanian, makanan – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

UKM bangunkan sistem pengering mesra alam untuk produk pertanian, makanan

ukm-bangunkan-sistem-pengering-mesra-alam-untuk-produk-pertanian-makanan

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/555239/ukm-bangunkan-sistem-pengering-mesra-alam-untuk-produk-pertanian

TANJUNG MALIM: Pengeringan produk pertanian atau makanan mengikut kaedah tradisional secara terbuka di bawah sinaran matahari boleh mendatangkan masalah akibat terdedah kepada pencemaran udara selain menjejaskan kualiti dan kebersihan produk.

Justeru, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Penyelidikan Tenaga Solar (SERI) dan Fakulti Sains dan Teknologi telah menghasilkan sistem pengering suria rumah hijau yang mesra alam untuk mengeringkan produk pertanian laut, herba serta makanan.

Felo Penyelidik UKM, Prof Dr Mohd Hafidz Ruslan, berkata sistem berkenaan dihasilkan dalam kebuk pengeringan dari kepingan polikarbonat atau keluli tahan karat, rak bertingkat serta penggunaan kipas yang dijana menggunakan tenaga elektrik daripada panel fotovoltan.

“Sistem pengeringan tenaga solar ini dapat mempercepatkan proses pengeringan berbanding secara tradisional kerana sistem itu dapat mengelakkan ancaman serangga dan binatang seterusnya lebih bersih dan dijamin mutu hasil produk.

“Sistem itu juga dapat mengawal suhu di dalam kebuk pengeringan dengan cara mengawal aliran udara sekali gus produk yang melalui proses pengeringan dapat dihasilkan dengan lengkok pengeringannya,” katanya.

Mohd Hafidz ditemui selepas menghadiri Program Hari Bumi 2019 dan pelancaran sistem berkenaan yang dirasmikan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Aminuddin Zulkipli di Proton City di sini hari ini.

Beliau berkata penyelidikan yang menggunakan geran universiti penyelidikan itu diterajui oleh beberapa penyelidik dari UKM dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Satu unit sistem itu membabitkan kos kira-kira RM20,000.

Katanya, sistem pengeringan itu telah menjalani proses percubaan di beberapa negeri iaitu di Chuping, Perlis; Taiping, Bidor dan Tanjung Malim di Perak; Semporna, Sabah serta Pontian, Johor.

“Sistem pengeringan itu mampu menghasilkan suhu antara 40 hingga 60 darjah Celcius yang sesuai untuk pengeringan produk pertanian terutamanya herba yang hanya mengambil masa dua hingga tiga hari untuk melalui proses pengeringan,” katanya.

Beliau berkata sistem pengeringan itu bertujuan supaya penyimpanan bahan atau produk itu tahan lebih lama sementara bahan yang kering boleh disimpan untuk menghasilkan produk hasil laut seperti ikan kering, ikan bilis selain herba dan buah-buahan.

Mohd Hafidz berkata pihaknya juga merancang untuk mengkomersialkan sistem pengeringan itu khusus untuk pihak yang terbabit dalam industri makanan atau pertanian. – BERNAMA