UiTM IPT pertama di dunia bina janakuasa elektrik solar – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

UiTM IPT pertama di dunia bina janakuasa elektrik solar

uitm-ipt-pertama-di-dunia-bina-janakuasa-elektrik-solar-2

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/413759/uitm-ipt-pertama-di-dunia-bina-janakuasa-elektrik-solar

PUTRAJAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di dunia membangunkan janakuasa elektrik solar PV yang akan beroperasi secara komersial di Gambang, Pahang mulai November depan.

Sehubungan itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin, berkata UiTM akan menerbitkan Sukuk Pelaburan Kemampanan dan Tanggungjawab Hijau (Green SRI) bernilai RM222.3 juta.

Beliau berkata, janakuasa berkenaan dibina di kawasan seluas 116 hektar membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM278 juta dan dijangka menawarkan tenaga solar berkapasiti 50 megawat (MW).

“Janakuasa ini juga dijangka menjana pendapatan lebih RM650 juta kepada UiTM dalam tempoh 21 tahun akan datang.

“Selain itu, janakuasa ini juga akan menggunakan lebih daripada 180,000 panel Foto Voltan yang memadai untuk menghasilkan lebih daripada 80,000 MWh tenaga bersih setahun dan ia cukup untuk menjana tenaga elektrik bagi 22,000 rumah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Green SRI Sukuk bagi pembiayaan projek janakuasa berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Ahmad Zaidee berkata, janakuasa elektrik solar PV berkenaan akan dibangun, dikendali dan diuruskan oleh UiTM Solar Power.

Beliau berkata, UiTM turut menyuntik ekuiti sebanyak RM56 juta ke dalam projek berkenaan dan bakinya sebanyak 80 peratus dibiayai menerusi terbitan Green SRI Sukuk bernilai RM222 juta.

Menurutnya, janakuasa berkenaan sedang dibina oleh sebuah konsortium terdiri daripada ET Solar dan Northwest Electric Power Design Institute Co Ltd dari China Power Engineering Consulting Group dengan sokongan kontraktor tempatan.

“Ahli-ahli konsortium yang dipilih adalah berdasarkan keupayaan dan pengalaman mereka yang luas dalam membina loji tenaga suria berskala besar di Eropah, Timur Tengah, Amerika dan Asia.

“Sebagai nilai tambah, janakuasa ini juga akan menempatkan sebuah Pusat Penyelidikan Solar UiTM yang serba canggih dan moden di mana ia akan menjadi Pusat Kecemerlangan untuk lnovasi, Pembangunan dan Pengkomersialan Tenaga Boleh Diperbaharui,” katanya.

Katanya, pusat penyelidikan berkenaan adalah fasiliti yang pertama seumpamanya di dunia yang terletak di tapak yang sama dengan sebuah janakuasa solar komersial berskala besar.

Sementara itu, Hassan berkata, janakuasa berkenaan turut membuka peluang kepada saintis dan jurutera UiTM untuk melihat serta meneroka bidang pengkomersialan tenaga boleh diperbaharui secara lebih mendalam.