Inisiatif tenaga suria demi manfaat rakyat – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

Inisiatif tenaga suria demi manfaat rakyat

inisiatif-tenaga-suria-demi-manfaat-rakyat

https://www.bharian.com.my/node/221069

PANCARAN matahari yang mengandungi cahaya dan haba adalah sumber penting membekalkan tenaga kepada kehidupan di Bumi. Tenaga suria ini tidak terhad kepada tumbuhan untuk melakukan proses fotosintesis, malah ia juga berguna untuk manusia menjana tenaga elektrik.

Sumber tenaga ini mudah didapati, sangat banyak, berterusan, bersih, percuma dan mesra alam. Ia mempunyai kelebihan dalam menangani kekurangan penjana kuasa konvensional berasaskan bahan api fosil yang bergantung kepada sumber arang batu yang terhad.

Pada masa sama, banyak peluang pekerjaan boleh diwujudkan daripada industri berasaskan sumber boleh diperbaharui iaitu tenaga suria. Ini dapat dilihat di negara Kesatuan Eropah (EU), China, Jepun, dan Amerika Syarikat (AS). Hasilnya, industri tenaga suria dapat beri pulangan positif kepada negara dan masyarakat.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM260.8 bilion dalam Bajet 2017 bagi mengimbangi perbelanjaan operasi dan pembangunan negara. Peruntukan ini selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas atau RMKe11 (2016-2020) menyasarkan pembangunan golongan isi rumah berpendapatan di bawah 40 peratus atau B40, dengan pendapatan bulanan di bawah RM3,900 untuk naik ke kelas pertengahan.

Untuk tujuan berkenaan, RM275 juta dari Bajet 2017 diper-untuk dana untuk memperbaik peluang pendapatan golongan B40. Menariknya, RM45 juta daripadanya telah dikhaskan untuk program tenaga suria dikenali sebagai MySuria. Inisiatif ini dipelopori melalui program perintis yang mulanya dipanggil SuriaKU di kawasan Pauh, Perlis, membabitkan pelbagai sektor, termasuk Kerajaan Negeri, Lembaga Pelaksana Koridor Utara (NCIA), Gading Kencana Sdn. Bhd, Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), dan Lembaga Kemajuan Tenaga Mampan (SEDA).

Sejak kejayaan pelaksanaan projek berkenaan, ia dijenamakan semula sebagai MySuria ketika Bajet 2017 sebagai kelangsungan usaha meningkatkan peluang ekonomi golongan isi rumah B40. Melalui inisiatif ini, panel suria akan dipasang pada lebih 1,600 unit rumah kediaman untuk menjana tenaga elektrik yang akan dijual semula kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mana setiap peserta akan memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM600.

Inisiatif seperti ini adalah satu contoh usaha negara Islam melaksanakan penggunaan teknologi hijau melalui manfaat tenaga suria sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di Jordan, contohnya, rancangan pemasangan sistem panel suria membabitkan 6,000 masjid dijangka siap sepenuhnya tahun ini. Di Maghribi, penjana kuasa haba suria dibina bagi membekalkan tenaga elektrik pada kadar termurah kepada lebih sejuta rakyatnya.

Jana pendapatan sampingan 

Di Malaysia, kerajaan mengambil langkah progresif dalam meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan rendah melalui program tenaga suria seperti yang disebut di atas. Di bawah program ini, peserta akan menikmati penjimatan tenaga yang banyak dan mampu menjana pendapatan sampingan dengan penjualan semula tenaga elektrik kepada syarikat utiliti. Tambahan pula, program ini dijangka memberi pulangan jangka masa panjang kepada peserta sehingga 21 tahun melalui Perjanjian Penjualan Tenaga Diperbaharui di bawah mekanisme ‘Feed-in-Tariff’ (FiT).

Dari perspektif Islam, pelaksanaan program seperti ini melindungi kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar yang mana ia sangat bersesuaian dengan konsep perlindungan diri (hifdz al-nafs) dan juga perlindungan alam semula jadi (hifdz al-bi’ah). Ia tergolong di dalam salah satu objektif Maqasid Syariah yang membawa kepada kemampanan dan keseimbangan ekonomi serta alam semula jadi.

Sejak masyarakat dunia mula mengalami kekurangan tenaga, usaha menjana tenaga boleh diperbaharui sangat digalakkan. Mesej ini jelas dalam mendorong pelaksanaan program seperti ini demi melestari kesejahteraan rakyat dan memastikan keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan kebajikan alam sekitar.

Sehingga kini, kumpulan sasaran atau peserta program ini adalah terhad kepada golongan isi rumah B40, terutama di Utara Semenanjung. Sebelum pembentangan belanjawan berkenaan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili merakamkan hasrat supaya Bajet 2017 memberi tumpuan lebih kepada pembangunan teknologi hijau.

Malaysia dijangka melaksanakan pemeteran tenaga bersih atau ‘net energy metering’ (NEM) tahun hadapan, yang membenarkan penggunaan tenaga elektrik sendiri dari sistem kuasa suria dan pada masa sama menjualnya semula kepada TNB. Daripada pengalaman penulis dalam kajian tenaga suria ketika di Pusat Penyelidikan Bahan Berdimensi Rendah (LDMRC) Universiti Malaya, cabaran utama pemasangan sistem ini adalah kosnya terlalu tinggi.

Justeru, untuk memastikan tenaga suria dinikmati bersama, inisiatif seperti ini sepatutnya lebih menyeluruh kepada golongan isi rumah lain, merangkumi seluruh negara. Bagi pembangunan tenaga hijau positif, adalah diharapkan agar bajet tahun hadapan meningkatkan peruntukan tenaga suria agar ia boleh diperluas ke seluruh negara.

Menurut akhbar New York Times, Malaysia tersenarai sebagai jaguh besar dalam sektor tenaga suria dengan menjadi pengeluar ketiga terbesar di dunia selepas EU dan China. Kejayaan ini disebabkan tawaran istimewa Malaysia seperti pengecualian cukai kepada pelabur, kos buruh rendah dan adanya ramai tenaga kerja yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris.

Dengan kemampuan negara membekal peralatan suria dalam kuantiti besar serta kesediaan negara untuk melabur, Malaysia boleh mempertimbang pemasangan sistem kuasa suria ke seluruh negara. Langkah ini akan menjadikan Malaysia sebagai contoh bagi negara Islam dunia dalam menggalakkan program penghasilan tenaga suria demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.