Nestle perkenal kiosk aiskrim berkuasa solar pertama di dunia – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

Nestle perkenal kiosk aiskrim berkuasa solar pertama di dunia

nestle-perkenal-kiosk-aiskrim-berkuasa-solar-pertama-di-dunia

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/03/542615/nestle-perkenal-kiosk-aiskrim-berkuasa-solar-pertama-di-dunia

PETALING JAYA: Nestle Ice Cream hari ini melancarkan kiosk aiskrim berkuasa solar di Malaysia, pertama di dunia, sejajar dengan usaha syarikat itu untuk menangani perubahan iklim.

Kiosk berevolusi itu menggunakan tenaga suria menerusi panel fotovoltan yang terletak di atas bumbung bagi memastikan aiskrim dalam peti sejuk kekal dingin, dari suhu luar pada 35 darjah celsius hingga maksimum -25 darjah celsius dengan kos sifar tenaga.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle (M) Bhd, Teo Heng Keat berkata pelancaran kiosk berkuasa solar itu adalah untuk meneruskan komitmen syarikat memulihara kelestarian alam sekitar.

“Sebelum pelancaran kiosk bertenaga solar itu, kami telah melancarkan lebih 13,000 peti simpanan sejuk beku eko di seluruh Malaysia pada 2015. Peti simpanan sejuk ini memerlukan separuh tenaga berbanding model sebelumnya dan menggunakan penyejuk semula jadi untuk mengekalkan aiskrim pada suhu yang betul,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kiosk kuasa solar Nestle Ice Cream, di sini hari ini.

Setiap kiosk yang baharu dilancarkan, berfungsi 100 peratus tanpa penggunaan kuasa elektrik, ia akan mengurangkan 263 kg pelepasan karbon dioksida ke atmosfera setiap tahun.

“Malaysia adalah negara yang sesuai untuk mempunyai kiosk aiskrim solar Nestle dan kami berharap dengan kiosk ini, kami dapat memberi inspirasi kepada syarikat lain untuk mengambil tindakan dan mencari cara baharu untuk mengurangkan pelepasan karbon dan melestarikan alam sekitar,” kata Teo. .

Nestle berhasrat melancarkan lebih banyak kiosk berkuasa solar di seluruh negara pada masa akan datang. – BERNAMA