Kerajaan bincang turunkan harga panel solar – MICRO SOLAR ENERGY
Responsive image
Article

Kerajaan bincang turunkan harga panel solar

kerajaan-bincang-turunkan-harga-panel-solar

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/353012/kerajaan-bincang-turunkan-harga-panel-solar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan bertemu pengeluar dan penjual panel solar di negara ini untuk berbincang mengenai harga produk itu supaya dapat dijual pada kadar lebih berpatutan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pelbagai dasar, merangkumi insentif dan kempen dilancarkan selama ini untuk memacu penggunaan panel solar.

Namun, katanya, kadar penggunaan teknologi untuk mengurangkan kesan pelepasan gas hijau itu masih pada takuk lama kerana dijual pada harga tidak mampu milik.

“Oleh itu, saya mahu berjumpa semua penjual panel solar di Malaysia bagi membincangkan usaha bagaimana nak turunkan harganya di pasaran.

“Selepas ini, kita harapkan panel solar boleh digunakan di pelbagai sektor dari peringkat kediaman persendirian sehingga industri,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abd Khalid membangkitkan isu penggunaan panel solar di Malaysia yang disifatkan tidak seragam, selain dibelenggu pelbagai isu sehingga merencatkan usaha kerajaan menangani kesan pelepasan rumah hijau.

Wan Junaidi berkata, inisiatif kerajaan untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada kenderaan menggunakan tenaga elektrik turut berdepan masalah berikutan perselisihan di antara agensi berkaitan.

Beliau berkata, pihaknya ketika ini dalam fasa perbincangan dengan SIRIM Berhad dan Kementerian Pengangkutan untuk merungkai isu lesen kenderaan elektrik.

“Masalah sekarang adalah segelintir motosikal dan kereta elektrik yang dijual di pasaran tidak boleh digunakan di jalan raya kerana isu lesen.

“Kita akan selesaikan secepat mungkin supaya setiap produk yang berupaya mengurangkan kesan pelepasan gas hijau berupaya dipasarkan,” katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, kementerian mengarahkan PETRONAS mempercepatkan penghasilan diesel Euro5 bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon.

Katanya, ia perlu dilaksanakan secepat mungkin susulan rungutan pemilik kenderaan mewah bahawa sistem enjin mereka sering rosak kerana menggunakan diesel biasa yang dijual di pasaran ketika ini.

“PETRONAS tidak mempunyai pilihan melainkan mempercepatkan penghasilan diesel Euro5 kerana ia bahan api yang lebih bersih,” katanya.